Oleh:
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
TERDAPAT beberapa ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa yang meninggalkan karangan
yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bahkan beberapa orang di antara mereka
terkenal sebagai ulama-ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram Mekah.
Di antara mereka yang sangat terkenal ialah Syeikh Abdul Ghani bin Subuh bin
Ismail al-Bimawi (Bima) yang mempunyai ramai murid. Syeikh Umar bin Abdur
Rasyid as-Sumbawi yang terkenal sama dengan Syeikh Abdul Ghani Bima. Tetapi
kedua-duanya tidak meninggalkan karya cetakan.
Kemungkinan karya mereka terdapat dalam bentuk manuskrip. Dua ulama Sumbawa
yang meninggalkan karangan ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin
Abdullah Qadhi as-Sumbawi dan seorang lagi ialah yang diriwayatkan ini. Nama
lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi.
Karyanya yang sangat terkenal dan masih diajarkan di kalangan masyarakat
Melayu hingga sekarang ialah Sirajul Huda, seperti tersebut pada judul artikel
ini. Menurut tradisi pengajian pondok di alam Melayu, kitab tersebut biasanya
dibaca sesudah menamatkan kitab Faridatul Faraid . Apabila sudah cukup memahami
kitab Faridatul Faraid barulah memasuki kitab Sirajul Huda. Tetapi ada juga
pondok yang mendahulukan Sirajul Huda kemudian baru mengajar Faridatul Faraid.
Sesudah kedua-dua kitab itu – yang dipandang sebagai asas ilmu tauhid –
barulah memasuki kitab Ad-Durruts Tsamin. Setelah ketiga-tiga kitab itu
betul-betul difahami dengan kukuh, asas Ahli Sunah wal Jamaah metod Syeikh Abu
Mansur al-Maturidi tidak berganjak lagi, maka mereka akan memasuki kitab-kitab
akidah yang lebih berat seumpama ad-Durun Nafis karya Syeikh Muhammad Nafis
al-Banjari dan lain-lain.
Untuk mengesan pada zaman mana Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa hidup, ada
sedikit kesukaran. Ini kerana daripada kedua-dua karyanya yang masih beredar di
pasaran, beliau tidak menyebut tahun berapa memulakan atau menyelesaikan
karyanya itu.
Dari beberapa salasilah keilmuan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Yasin
al-Fadani (Padang), dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin
Sumbawa adalah peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani (1230H/1814M –
1312H/ 1897M) dan peringkat guru kepada Syeikh Mukhtar bin ‘Atarid
al-Bughri(Bogor) (1278H/1860M – 1349H/1930M).
Berdasarkan tulisan Syeikh Muhammad Az-hari al-Falimbani dalam beberapa
karyanya di antaranya Badi’uz Zaman, bahawa beliau menerima Tarekat Qadiriyah
daripada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Syeikh Muhammad Zainuddin
as-Sumbawi menerima baiah daripada Syeikh Muhammad Mukrim, Mufti Hamad di
negeri Syam.
S
yeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani pula, hanya sedikit mencatat
tentang Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu. Kata beliau: “Dan
mengkhabarkan kepada hamba oleh al-alim Tuan Zainuddin Sumbawa Rahimahullah
taala bahawasanya mengenai akan dia oleh penyakit karang, maka minum ia akan
air rebusan kayu sepang dan kayu kendarang, mengekali ia atasnya beberapa
bulan, maka sembuh ia dan hilang daripadanya penyakit itu semua sekali.”
Kesimpulannya, Syeikh Muhammad Zainuddin hidup sejak zaman Syeikh Nawawi
al-Bantani dan beliau dikira lebih tua daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain
al-Fathani (1272H/1856M-1325H/1908M). Syeikh Ahmad al-Fathani pula sempat
belajar dengan Syeikh Nawawi al-Bantani itu dan ada kemungkinan Syeikh Ahmad
al-Fathani pula pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi.
Sudah jelas bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi ketika di Mekah,
banyak memperoleh ilmu dari Syeikh Nawawi al-Bantani. Namun begitu,
pendidikannya sebelum di Mekah tidak diketahui dengan pasti.
Dari sekian banyak salasilah/sanad sesuatu disiplin ilmu yang disebutkan
oleh Syeikh Yasin Padang dalam Al-‘Iqdul Farid, sebagai contoh, Syeikh Muhammad
Zainuddin as-Sumbawi dan Syeikh Abdul Ghani bin Subuh bin Ismail al-Bimawi
menerima ilmu daripada al-Mu’ammar al-Kiyai Nawawi bin Umar al-Bantani. Syeikh
Nawawi al-Bantani menerima ilmu dari Syeikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani dan
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Kedua-duanya menerima sanad dari Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman
al-Falimbani. Dia menerima ilmu dari Syeikh ‘Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far
al-Falimbani (kemudian tinggal di Madinah). Beliau menerima ilmu dari ayahnya
Syeikh Hasanuddin bin Ja’afar al-Falimbani, dan juga dari saudaranya Salih bin
Hasanuddin al-Falimbani.
Kedua-duanya menerima ilmu dari Imam ‘Id bin Ali an-Namrisi al-Masri
(tinggal di Mekah). Beliau menerima dari Imam al-Hafiz al-Muhaqqiq Abdullah bin
Salim al-Basri al-Makki. Dia menerima daripada Muhammad Ibnu al-‘Ala’ al-Babli.
Dia menerima daripada Abin Naja Salim bin Muhammad as-Sanhuri yang menerima
daripada Muhammad bin Ahmad al-Ghiti.
Dia menerima daripada Kadi Zakaria bin Muhammad al-Ansari. Dia menerima
daripada Abin Na’im Ridhwan bin Muhammad al-‘Iqabi. Dia menerima daripada Abit
Thahir Muhammad bin Muhammad. Dia menerima daripada Abdur Rahman Ibnu Abdul
Hamid al-Muqaddisi. Dia menerima dari Abil Abbas Ahmad bin Abdud Daim
an-Nablusi.
Abil Abbas menerima daripada Muhammad bin Ali al-Harani. Dia menerima
daripada Muhammad bin Fadhal al-Farawi. Dia menerima dari Abil Hussein Abdul
Ghafir Ibnu Muhammad al-Farisi. Dia menerima daripada Abi Ahmad Muhammad bin
Isa al-Jaludi. Dia menerima daripada Abi Ishak Ibrahim Ibnu Muhammad bin Sufyan
az-Zahid. Dia menerima daripada pengarang kitab al- imam al-Hafiz Muslim bin
al-Hajjaj al-Qusyairi an-Nisaburi.
Yang tersebut di atas adalah sebagai contoh sanad Syeikh Muhammad Zainuddin
as-Sumbawi tentang hadis Muslim yang diterimanya dari Syeikh Nawawi al-Bantani.
Tetapi tentang hadis Bukhari, Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi bertitik
mula penerimaannya dari Syeikh Abdul Karim as-Sambasi. Bukan dari Syeikh Nawawi
al-Bantani.
Melalui beberapa sanad/salasilah keilmuan Syeikh Muhammad Zainuddin
as-Sumbawi itu bertitik mula dari Syeikh Abdul Karim as-Sambasi bererti selain
Syeikh Nawawi al-Bantani, beliau mempelajari pula berbagai-bagai bidang ilmu dari
ulama yang berasal dari Sambas itu.
Namun demikian, saya masih meragui kebenaran tulisan Syeikh Yasin Padang itu
kerana yang ditemui maklumat yang berada di Makah sezaman dengan Syeikh Nawawi
al-Bantani ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Kedua-duanya adalah murid
Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Sangat boleh jadi tulisan Syeikh Yasin Padang dalam
Al-‘Iqdul Farid itu adalah tersalah cetak.
Masih ada satu sanad/salasilah Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi yang
tidak terdapat dalam karya Syeikh Yasin Padang iaitu sanad/salasilah mengenai
Tarekat Qadiriyah. Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani menulis, “…..Syaikhuna
al-‘Alim al-‘Allamah al-Khalifah at-Tarekah al-Qadiriyah asy-Syeikh Muhammad
Zainuddin as-Sumbawi, ia mengambil daripada syeikhnya as-Saiyid Muhammad
Mukrim, Mufti negeri Hamad benua Syam. Yang ia mengambil daripada
Masyaikh-Masyaikhi ilan Nabi s.a.w yang muttasil hingga sekarang ini. Dan jika
hendak mengetahui salasilah tarekat ini lihat di dalam Tuhfatil Qudsiyah bagi
Syaikhunal mazkur asy-Syeikh Muhammad Zainuddin….”
Salasilah yang tersebut dalam kitab Tuhfatil Qudsiyah yang disebut oleh
Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu tidak dapat diketahui kerana kitab
karya ulama yang berasal dari Sumbawa itu masih belum ditemui hingga sekarang.
Kemungkinan kitab tersebut telah ghaib, tiada siapa yang menyimpannya lagi.
Apabila kita semak tulisan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, dengan
jelas beliau sebut bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi adalah Khalifah
Tarekat Qadiriyah, iaitu tarekat yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir
al-Jilani. Ini bererti kemunculan beliau seolah-olah setaraf dengan Syeikh
Abdul Karim al-Bantani yang menjadi Khalifah Tarekat Qadiriyah yang dilantik
gurunya yang dianggap mursyid kamil mukammil dalam tarekat itu, beliau ialah
Syeikh Ahmad Khatib Sambas.
Beberapa orang ulama yang berasal dari Alam Melayu yang pernah belajar
kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi memang sangat ramai. Di antara yang
dianggap sebagai ulama besar dan tokoh yang berpengaruh ialah : Syeikh Mukhtar
bin ‘Atarid Bogor, Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani, Kiyai Muhammad Khalil
bin Abdul Lathif al-Manduri , Syeikh Ali bin Abdullah al-Banjari, Syeikh Khalid
bin Utsman al-Makhla az-Zubaidi, Syeikh Abdul Hamid Kudus, Syeikh Mahfuz bin
Abdullah at-Tarmisi (Termas, Jawa) dan ramai lagi.
Karya Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi hanya empat buah sahaja dalam
maklumat yang ada pada saya iaitu:
- Sirajul Huda ila Bayani ‘Aqaidit Taqwa, judul terjemahan dalam bahasa
Melayu oleh pengarangnya sendiri iaitu Pelita Petunjuk Kepada Menyatakan Segala
Simpulan Segala Ahli Takwa. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan sampai
sekarang masih beredar di pasaran kitab. Tidak terdapat kenyataan tarikh
selesai melakukan penulisan.
- Minhajus Salam fi Tafsil ma yata’allaqu bil Iman wal Islam. Tidak
terdapat kenyataan tarikh selesai melakukan penulisan. Dicetak dalam beberapa
edisi. Pada masa sekarang, hampir-hampir tidak ada di pasaran lagi.
- Waraqatun Qalilatun fi Manasikil Hajji wal ‘Umrah ‘ala Mazhab al-Imam
asy-Syafie. Tidak terdapat kenyataan tarikh selesai melakukan penulisan.
Risalah ini dicetak dalam Majmuk Kaifiyat Khatam al-Quran yang dinyatakan
sebagai karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dicetak dalam berbagai-bagai
edisi cetakan baik di Timur Tengah mahupun dicetak di dunia Melayu.
- Tuhfatul Qudsiyah. Hanya terdapat maklumat berdasarkan karya Syeikh
Muhammad Azhari al-Falimbani di dalam Badi’uz Zaman. Kemungkinan karya yang
tersebut telah tidak dapat ditemui lagi.
Kandungan karya Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa yang nombor 1, iaitu
Sirajul Huda, membicarakan tauhid atau akidah Ahli Sunah wal Jamaah,
perbicaraannya biasa sahaja, sebagaimana kitab-kitab tauhid dalam bahasa Melayu
yang lain-lainnya.
Sungguhpun begitu, ada dua hal yang menarik untuk dipetik, iaitu pertama
terdapat dua tempat bahasa yang bercorak puisi dan yang kedua, kupasannya yang
panjang mengenai satu istilah yang terdapat dalam usuluddin. Salah satu
daripadanya tentang mukjizat Nabi Muhammad s.a.w menghidupkan ayah dan ibunya,
terdiri enam bait, empat bait bahagian akhir sebagai contoh ialah:
“Maka dihidupkan ayah dan
bondanya
Supaya dengan dia percaya
keduanya
Maka terima olehmu jangan
ingkarnya
Kerana yang demikian itu
kuasanya
Telah datang hadis dalil
atasnya
riwayat orang pendita rijalnya
Barang siapa berkata dengan
daifnya
Maka ialah daif, tidak
hakikatnya.”
Daripada contoh di atas, dapat dipastikan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin
Sumbawa adalah termasuk ulama ahli penyair dunia Melayu.